Firdaus (belakang) dan Shah Firdaus antara sandaran terbaik Malaysia di Glasgow. |
Pada kejohanan itu, ramai 'bintang dalam pembikinan' berentap sesama sendiri untuk menilai sejauh mana keupayaan dan pencapaian mereka pada usia yang masih muda.
Bagi sesebuah negara membangun dalam sukan berbasikal termasuk Malaysia, kejohanan itu sudah pasti menjadi penanda aras dalam menentu hala tuju sukan berkenaan.
Pada edisi 2013 yang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula hari ini, tujuh pelumba remaja akan menggalas misi Malaysia untuk menguji setakat mana tahap keupayaan mereka dalam kalangan pelumba dunia yang lain.
Pengorbanan tujuh pelumba itu yang terdiri daripada Muhammad Firdaus Mohd. Zonis, Asyraf Naim Ying, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Afiq Huznie Othman, Muhammad Aele Shafri Rusli, Irwandie Lakasek dan Mohamad Farid Razali sudah pasti amat besar.
Pada masa sama, mereka sudah boleh dianggap sebagai pelapis yang bakal meneruskan legasi jaguh-jaguh negara yang sedia ada seperti Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta Fatehah Mustapa.
Begitupun, mampukah mereka menepati setiap jangkaan dan ramalan yang diletakkan di bahu masing-masing atau tersungkur seperti tiga edisi yang lepas di Itali (2010), Rusia (2011) dan New Zealand (2012).
Sejak kali terakhir Muhd. Adiq Husainie Othman membawa pulang pingat gangsa dalam acara scratch 10 kilometer lelaki di Moscow, Rusia pada 2009, masih belum ada pelumba remaja berjaya menyerlah dan memenangi pingat pada kejohanan tersebut .
Namun di Glasgow kali ini, peluang dilihat agak cerah setelah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghantar kontinjen paling besar bagi memberi saingan dalam acara pecut dan endurance selama lima hari di Velodrom Sir Chris Hoy.
Diiringi oleh pegawai Mohd. Izham Mohamad dan jurulatih Suod Hussain serta penolongnya, Junaidi Mohamad Nasir, barisan pelumba muda negara akan beraksi dalam beberapa acara individu dan berpasukan dalam usaha membuktikan keupayaan mereka sebagai pelumba generasi baharu yang bakal menggegar dunia pada masa hadapan.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad menjelaskan, pihaknya menghantar tujuh pelumba remaja kali ini dengan misi memberi pendedahan dan mengukur tahap keupayaan sebenar mereka bersaing dengan pelumba terbaik dunia.
"Ketujuh-tujuh pelumba remaja ini akan bersaing dalam pelbagai acara dan ini bakal menjadi medan terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan mereka, meraih kejayaan dan seterusnya menyarung Jersi Pelangi selaku juara remaja dunia.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment