Saturday, August 3, 2013

Penggunaan Elektrik Di Terengganu Meningkat 10 Peratus


Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganggarkan penggunaan bekalan elektrik musim perayaan di negeri ini meningkat antara lima hingga 10 peratus.

Pengurus Besar negeri, Ir. Md. Yuslan Md. Yusof berkata, peningkatan itu berlaku kerana aktiviti seperti menjahit, memasak, bersahur dan mengindahkan suasana malam yang dilakukan oleh pengguna.

Katanya, berikutan itu persediaan awal telah dilakukan oleh TNB, termasuk menaikkan taraf peralatan di pencawang dengan meningkatkan voltan fius, kabel dan beberapa peralatan lain.

Malah katanya, kawasan yang dikenal pasti berlaku gangguan pada tahun lalu telah dilaksanakan penyelenggaraan lebih awal agar tidak berulang kejadian sama pada tahun ini.

"Ini untuk memastikan pengguna dapat menyambut kemeriahan hari raya tanpa ada gangguan yang berpanjangan dan TNB juga mempunyai pasukan khas menangani sesuatu kerosakan dan aduan yang diterima pada musim perayaan.

"Kira-kira 500 petugas akan bertugas secara bergilir-gilir pada musim perayaan untuk memastikan masalah gangguan dapat dibaiki dengan segera," katanya kepada pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media di Primula Hotel di Kuala Terengganu,  petang semalam.

Sehubungan dengan itu beliau menasihati orang ramai tidak melakukan penyambungan pendawaian dan pendawaian baharu tanpa nasihat atau khidmat syarikat yang diiktiraf TNB bagi mengelakkan kejadian litar pintas.

Selain itu, pengguna yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya diingatkan supaya memastikan semua suis ditutup atau menutup suis utama bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Mengenai pencerobohan dan kes kecurian elektrik di negeri ini, beliau berkata, memang ada kes yang dilaporkan tetapi hanya kes terpencil berbanding dengan di Pantai Barat.

No comments:

Post a Comment