Saturday, August 10, 2013

Pertambahan Kenderaan Berlipat Ganda Memasuki Terengganu, Sebabkan Kesesakan

Polis Terengganu menjangkakan pertambahan kenderaan yang akan masuk ke negeri ini berlipat kali ganda, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama di lokasi tumpuan awam.

“Kita tidak menolak berkemungkinan kesesakan lalu lintas yang agak kritikal berlaku di laluan tumpuan terutamanya di kawasan bandar dan pusat beli-belah kerana musim perayaan dan musim cuti sekolah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapha mensihati orang ramai supaya bersabar dan mengikuti segala nasihat serta arahan anggota polis bertugas, juga cuba elakkan daripada menggunakan laluan yang sememangnya diketahui berisiko mengalami kesesakan.

Jelasnya lagi, bagi memastikan kelancaran lalu-lintas, anggota polis ditempatkan di setiap laluan dikenal pasti berisiko mengalami kesesakan dan orang awam juga boleh menghubungi balai polis berhampiran memaklumkan masalah kesesakan di kawasan mereka.

Pada masa yang  sama, orang ramai terutama warga tempatan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif seperti ‘lorong tikus’ ataupun laluan kampung bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama.

Sementara itu, Jamshah turut menjelaskan, masalah haiwan ternakan terutamanya lembu berkeliaran di atas Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), antara punca berlakunya kemalangan sebelum ini telah diatasi.

“Kita telah membaiki semua pagar rosak yang membolehkan haiwan ternakan ini masuk ke kawasan LPT. Selain itu, kita telah buat perjumpaan dengan pemilik haiwan ternakan ini untuk meminta kerjasama sebaiknya," katanya.

Polis Terengganu turut mengenal pasti 13 lokasi kerap berlaku kemalangan terutamanya menjelang musim perayaan.

Di daerah Kuala Terengganu, lokasinya ialah di Kilometer (KM) 15-35 Jalan Kuala Terengganu ke Kampung Raja; KM 6-10 Jalan Kuala Terengganu ke Seberang Takir; KM 1-35 Jalan Jerteh- Keruak; Hulu Besut; KM 1-28 Jalan Jerteh- Bukit Puteri.

Manakala di daerah Dungun pula katanya, lokasi terlibat ialah di laluan KM 58-75 Jalan Jeragau-Jabor; KM 77-89 Jalan Jerangau-Jabor dan KM 95-108 Jalan Jerangau-Jabor manakala di Kemaman pula ialah di KM 14-16 Jalan Cukai-Air Putih.

“Di daerah Setiu pula, jalan dikenal pasti ialah di KM 32-35 Jalan Sungai Tong-Kuala Berang dan di Marang, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di KM 18-60 dan di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di KM 15-28,” katanya.

Sementara itu menurutnya, di Hulu Terengganu pula di Jalan Kuala Terengganu ke Bukit Besi di KM 35-40 dan Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong di KM 10-12.

No comments:

Post a Comment