Seorang lagi tokoh Umno Sabah semalam tampil menyatakan sokongan kepada ketua perhubungan Umno negeri Datuk Seri Musa Aman untuk merebut jawatan kerusi naib presiden parti dalam pemilihan Oktober depan.
Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga setiausaha BN negeri menyatakan sokongan tersebut kerana menurutnya Umno Sabah kini dianggap sebagai salah satu negeri kubu kuat Umno di Malaysia.
"Saya fikir beliau ada peluang yang baik untuk menang salah satu kerusi memandangkan Umno Sabah pada masa ini adalah salah satu Umno negeri yang paling kuat," katanya kepada pemberita pagi semalam.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata demikian ditanya sekiranya beliau menyokong seruan untuk Musa Aman bertanding kerusi itu yang dilaporkan dibuat 22 bahagian Umno Sabah.
Naib Presiden Umno dari Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi tersebut dan pendirian yang sama turut dinyatakan dua lagi naib presiden lain - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Abdul Rahman turut membidas gesaan agar para menteri Kabinet tidak bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi dalam pemilihan kali ini.
"Saya tidak fikir (gesaan) itu betul kerana (jika gesaan itu diikuti) siapa yang akan jadi ahli majlis tertinggi?
"Biar ahli tentukan perkara ini kerana ahli-ahli Umno adalah sekumpulan orang yang bijak," katanya.
Beliau mengulas gesaan naib ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Tengku Putra Aminurrashid Tengku Hamid Jumat yang dilaporkan akhbar Sinar Harian semalam.
Menurut Tengku Putra, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dan percanggahan bidang kuasa para pemimpin terbabit.
No comments:
Post a Comment