Saturday, August 3, 2013

SKMM Rujuk Jakim Isu Video Raya Bersama Anjing - Shabery


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan berhubung kes penyebaran video '1 Hari Di Hari Raya' baru-baru ini yang dianggap menghina Islam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata pandangan dan nasihat Jakim diperlukan bagi memutuskan sama ada video itu mencemar kesucian agama Islam.

"Sekiranya Jakim mendapati video itu menyentuh sensitiviti agama, maka SKMM akan buat keputusan supaya kes itu diserahkan kepada peguam negara," katanya kepada pemberita selepas meyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TM Net Sdn Bhd dan Astro Malaysia Holdings Berhad.
Turut hadir Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Polis kelmarin  menahan Maznah Mohd Yusof, 38, selepas didakwa membuat video kontroversi menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

No comments:

Post a Comment