Thursday, August 29, 2013

SPA Buka Cawangan Pejabat Akhir Tahun Ini



Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menubuhkan pejabat di Kuala Terengganu selewat-lewatnya hujung tahun ini untuk memudahkan sesi temuduga.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata kira-kira 50 peratus dari 137,000 pemohon di Terengganu yang mendaftar dengan SPA gagal menghadiri sesi temuduga kerana lokasi pejabat SPA hanya terdapat di Pahang dan Kelantan.

Bagi mengatasi masalah itu, SPA telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang bersetuju untuk mencari lokasi yang sesuai untuk dijadikan pejabat operasi SPA cawangan Terengganu sebelum Disember ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Interaksi Jabatan dan Agensi Kerajaan Bersama Pelanggan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, kelmarin.


"Jumlah pemohon yang mendaftar dengan SPA di Terengganu sehingga tujuh bulan pertama tahun ini ialah 137,000 dan pada tahun lepas pula sebanyak 170,000.

"Namun jumlah yang datang apabila dipanggil temuduga hanya 50 peratus kerana faktor lokasi yang jauh menyukarkan pemohon datang dan ini akan merugikan mereka," katanya.

Mahmood berkata SPA berharap apabila pejabat di Terengganu beroperasi, kadar kedatangan pemohon ke sesi temuduga akan meningkat.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai terutama kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil jabatan kerajaan yang terlibat.

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir di karnival itu terutama lepasan sekolah dan universiti. SPA turut memberi taklimat kepada pengunjung mengenai prosedur pemilihan calon untuk mengisi kekosongan jawatan di SPA.

No comments:

Post a Comment