Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) menubuhkan empat lagi pusat penyelidikan dalam usaha melonjakkan namanya setaraf dengan universiti terkemuka tempatan dan luar negara.
Naib Canselornya Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata empat pusat terbabit ialah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (Inspire), Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Agropolis UNISZA dan Pusat Pembangunan Komuniti dan Kualiti Hidup.
"Pusat Kecemerlangan ini dijadikan sebagai penyokong kepada bidang akademik yang sedia ada melalui projek penerbitan, penyelidikan dan perundingan.
"Ia akan mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang tertentu yang sedia ada atau pakar dari luar yang akan ditempatkan di sini untuk mengkaji dan memberi fokus kepada bidang tertentu," katanya semalam.
Menurutnya Inspire akan berperanan mengkaji produk dan tamadun Islam, manakala ESERI pula menumpukan kepada alam sekitar termasuk melakukan kajian mengenai banjir dan bencana alam lain yang relevan dengan pantai timur.
"Pusat kecemerlangan Agropolis akan menyelidik mengenai pertanian dengan sasaran menjadi pusat rujukan utama di wilayah pantai timur.
"Pusat Pembangunan Komuniti dan Kualiti Hidup yang diasaskan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pula akan memberi tumpuan kepada perubatan hospital dan akan turut membantu komuniti meningkatkan kualiti kesihatan dan kualiti hidup masyarakat," katanya.
Pusat kecemerlangan ini juga akan membuat penerbitan dan perundingan untuk membantu kerajaan mengenal pasti masalah dan isu-isu setempat, secara tidak langsung akan meningkatkan imej dan reputasi UniSZA sebagai sebuah universiti berdaya saing, katanya.
No comments:
Post a Comment