Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan tidak akan bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
Zambry berkata sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, wajar untuk beliau tidak menawarkan diri bertanding di peringkat MT sebaliknya memberi ruang kepada calon lain yang berkelayakan.
"Sebagai seorang Menteri Besar, saya menjadi anggota MT secara automatik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Perak di Ipoh, semalam.
Beliau berkata keputusan itu dibuat bukan kerana takut untuk bertanding jawatan anggota MT sebaliknya ia adalah pilihan terbaik tanpa memikirkan kedudukan.
Katanya beliau masih boleh berkongsi idea dan pandangan dalam mesyuarat MT Umno meskipun akan memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri..
"Sepanjang mesyuarat MT pun, pandangan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri tidak pernah diketepikan oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Dalam pada itu, Zambry menghormati pendirian Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang tidak akan mempertahankan jawatan MT Umno kali ini bagi memberi ruang kepada golongan muda.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Khairul Azwan Harun menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda Umno pada pemilihan itu.
Beliau berkata keputusan itu diambil setelah berbincang dengan kepimpinan Pemuda Umno negeri serta merujuk kepada Zambry.
Selain itu, dua calon iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin akan bertanding jawatan exco Pemuda Umno.
Khairul Azwan berkata Pemuda Umno negeri memberi sokongan kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk terus memimpin pergerakan itu pada pemilihan parti nanti.
No comments:
Post a Comment