Sebanyak 4,200 bakal jemaah haji Malaysia yang tiba dengan 12 pesawat telah berada di Madinah.
Naib Konsul Malaysia di Jeddah (Hal Ehwal Haji) Mohamad Zawawi Bostam. berkata mereka berada dalam keadaan sihat.
Katanya, sebuah lagi pesawat KT-13 dijadual tiba 4.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) dengan membawa 279 bakal jemaah haji.
"Kesemua mereka yang tiba sejak 7 September lepas didapati sihat dan gembira serta bersiap sedia untuk beribadah," katanya kepada pemberita di Madinah, semalam.
Tabung Haji (TH) telah membawa bakal jemaah haji yang berada di Madinah mengikuti program ziarah Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah di sekitar kota Madinah.
Setiap kumpulan berkenaan akan berada di Madinah selama lapan hari sebelum bertolak ke Makkah secara berperingkat mulai 15 Sept ini.
Mereka akan memulakan kerja-kerja ibadat haji mulai hari Wukuf di Arafah yang dijadualkan pada 14 Oktober.
Setakat ini, 362 petugas TH telah berada di Madinah bagi membantu sebarang masalah dan membimbing bakal jemaah haji Malaysia.
Pesawat terakhir ke Madinah iaitu KT 37 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual tiba pada 20 Sept ini seterusnya baki jemaah dari Malaysia akan terus berlepas ke Makkah mulai 22 Sept.
Sebanyak 22,320 bakal jemaah haji menerusi 65 penerbangan dari Malaysia akan menunaikan Rukun Islam kelima di tanah suci Makkah tahun ini dan jumlah itu berkurangan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment