Tuesday, September 17, 2013

Ahmad Said Tidak Gentar Dicabar Ketua Bahagian Kemaman


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau tidak gentar jika jawatannya selaku Ketua UMNO Bahagian Kemaman dicabar pada pemilihan parti bulan depan.

"Itu demokrasi. Terserah kepada perwakilan," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian dimintas mengulas desas-desus mengenai perkara itu.

Menurut laporan beberapa blog, yang memetik sumber utama Free Malaysia Today, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu daripada kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak.

“Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua
ahli Umno Terengganu,” kata beliau.

Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu.

Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu.

“Kalau kita tak berani berubah, ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya.

Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno daripada kehilangan kuasa memerintah negeri.

Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.

“Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat cawangan UMNO Terengganu, Ahmad Said berkata, beliau belum menerima laporan berkaitan jumlah sebenar cawangan yang telah bermesyuarat selepas tempoh berbuat demikian berakhir semalam.

Umno Terengganu mempunyai 1,027 cawangan.

No comments:

Post a Comment