Tuesday, September 24, 2013

Calon Boleh Kempen Guna Laman Sosial, SMS

Calon yang akan bertanding pada mesyuarat pemilihan UMNO bulan depan dibenar menggunakan saluran laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berkempen, tetapi ditegah mengadakan bentuk pertemuan dan menggunakan wang bagi mempengaruhi perwakilan, termasuk menganjurkan majlis makan malam.

Selain itu, calon yang berjawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) ditegah menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi perwakilan, terutama mengadakan majlis kepartian untuk berkempen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Muda Mamat, berkata semua calon yang akan bertanding diminta mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib oleh parti, selain pencalonan mereka ditolak.

Katanya, walaupun calon dibolehkan berkempen melalui laman sosial dan SMS, mereka dilarang menggunakan perkataan berbaur hasutan serta memburuk-burukkan serta melakukan serangan peribadi terhadap calon lain.

“Kita sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti laman sosial semua calon yang akan bertanding dan tindakan menolak pencalonan mereka daripada bertanding akan dikenakan sekiranya syarat ini dilanggar,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat UMNO negeri, di Kuala Terengganu,  semalam.

No comments:

Post a Comment