Thursday, September 12, 2013

Hampir 50 Peserta Luar Negara Sertai Kejohanan Lasak RIC Ahad Ini

Hampir 50 peserta luar negara akan menyertai kejohanan lasak antarabangsa Redang Island Challenge (RIC) di Pulau Redang  Ahad ini.

 Pengurus acara Mohd Khairul Abu Bakar berkata mereka merupakan atlet sukan lasak dari Jepun, Vietnam dan Singapura yang akan berentap pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 untuk juara dan masing-masing RM2,000 dan RM1,000 bagi naib juara dan tempat ketiga.

"Ini adalah pertama kali sukan itu dianjurkan dan kita jangka ia akan menarik peminat-peminat sukan lasak di negeri ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Khairul berkata RIC juga bertujuan mempromosi Pulau Redang dan memberi gambaran sebenar kepada pelancong bahawa musim tengkujuh bukan penghalang untuk melawat Terengganu.

Kejohanan itu membabitkan acara renang, berlari dan berkayak sejauh kira-kira 15 kilometer bermula dari Taman Laut Pulau Pinang dalam gugusan pulau Redang dan berakhir di perkampungan Pulau Redang. 

Sementara itu, Khairul berkata hampir 90 peserta akan mengambil bahagian dalam kejohanan lasak RIC terbuka Malaysia pada hari dan tempat yang sama yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,500 untuk juara, tempat kedua RM2,000 dan RM1,000 tempat ketiga.

Beliau berkata RIC dianjurkan pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi negeri Terengganu (Tenaga).

No comments:

Post a Comment