Sunday, September 22, 2013

Jailani Tawar Diri Bertanding Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Jailani yang merupakan Ketua Umno cawangan Tok Randuk, Ajil, berkata hasrat beliau untuk bertanding itu kerana didorong oleh sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak.

"Sebelum ini, ramai orang bertanya saya untuk bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi atau Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Setelah saya mendapat pandangan dan nasihat selain sokongan padu daripada cawangan-cawangan di Hulu Terengganu, jadi saya dengan rasa rendah diri menawar untuk bertanding jawatan itu.


"Saya juga mendapat sokongan padu daripada Pemuda dan orang lama dalam Umno yang mengesyorkan supaya bertanding sebagai wakil Umno Bahagian Hulu Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat anjuran Politeknik Hulu Terengganu di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di Hulu Terengganu, kelmarin.

Jailani berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding kerana ingin mentransformasikan Umno Bahagian Hulu Terengganu agar lebih mantap dan maju pada masa depan.

Ketika ini Ketua Umno bahagian Hulu Terengganu disandang Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Berang.

Empat puluh pelajar Diploma Perakaunan dan 20 pensyarah mengambil bahagian dalam program itu dengan mengadakan gotong-royong mengecat bangunan fardu ain dan menanam pokok hiasan bagi menceriakan kawasan perkampungan Orang Asli Sungai Berua.

No comments:

Post a Comment