Friday, September 13, 2013

Kerajaan Cadang Tabung Bencana Untuk Peladang - Ismail Sabri

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menimbang cadangan mewujudkan tabung bencana bagi membantu 820,000 anggota Pertubuhan Peladang Kebangsaan seluruh negara mendapatkan pampasan, sekiranya mengalami kerugian akibat bencana.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian kini sedang meneliti cadangan itu sebelum membentangkannya kepada kabinet untuk kelulusan.

"Pertubuhan mahu kementerian wujudkan satu skim insurans bagi memberi perlindungan dan membantu peladang yang menghadapi kerugian sekiranya tanaman mereka rosak akibat bencana.

"Tetapi untuk skim insurans ini pihak kementerian kurang bersetuju sebab terlalu banyak prosedur...dalam konteks ini kumpulan petani terutamanya, bukan dari golongan yang kaya, bila tanaman mereka rosak hari ini, esok seboleh-bolehnya mereka mahu pampasan diberikan dan ini yang kita susah nak dapat kalau guna insurans," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Selangor, di Shah Alam semalam.

Beliau berkata pendekatan tabung bencana itu juga lebih fleksible kerana pampasan boleh diberikan mengikut jumlah kerugian yang ditanggung, walaupun sedikit.

"Kalau kita ambil skim insurans, pihak insurans akan menilai jumlah kerosakan tanaman yang ditanggung oleh peladang, sekiranya jumlah kerugian itu kecil dan tidak mencapai had yang ditetapkan, mereka (peladang) tidak akan mendapat sebarang pampasan.

"Jadi apabila ada tabung ini, kita boleh bayar pampasan kepada mereka tanpa mengehadkan sedikit atau banyak nilai kerugian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment