Saturday, September 14, 2013

Kursus ICT Percuma Untuk Rakyat


Bagi memberi pendedahan lebih meluas tentang penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sebanyak 47 buah Pusat Komuniti Bestari (Bestari.Com) di seluruh negeri ini menyediakan kursus ICT secara percuma kepada masyarakat.

Pegawai Teknologi Maklumat Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN), Zulkifli Abdul Kadir berkata, kursus ICT yang terbuka kepada semua golongan dan peringkat umur itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri agar rakyat tidak ketinggalan.

"Hanya perlu ada tiga orang dan maksimum 13 orang pada satu-satu masa bagi membolehkan kursus sehari diadakan di Bestari.Com berhampiran. Kita berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkan kemudahan yang disediakan secara berterusan ini.

"Setiap peserta akan memperoleh Sijil Kursus ICT yang sah digunakan di mana-mana agensi," ujarnya. Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Celik ICT Pesara Siri 1/2013 di Pusat Latihan ICT, di Pusat Niaga Paya Keladi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada program itu, seramai 30 orang warga emas daripada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Terengganu menghadiri kursus berkenaan yang bermula seawal pukul 9 pagi sehingga 5 petang selama dua hari.

Turut hadir sama, Yang Dipertua PPKM negeri, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah.

Zulkifli memberitahu, setiap peserta yang menghadiri kursus didedahkan dengan perkakasan, komponen komputer, aplikasi perisian serta penggunaan internet dan email. Tambahnya, bagi memudahkan pengguna di Bestari.Com, setiap pusat itu akan dipantau seorang pegawai teknologi maklumat (IT) serta seorang pembantu teknikal supaya membolehkan sebarang masalah dan pertanyaan pengguna diselesaikan.

"Kita harap golongan muda serta mereka yang ingin mendalami ilmu ICT dapat memanfaatkan kemudahan ini kerana ia diadakan secara percuma berbanding kursus yang dilakukan pihak luar yang mengenakan bayaran yang mahal.

"Kita juga mengalu-alukan mana-mana persatuan atau jabatan kerajaan yang mahu anjurkan sebarang kursus melibatkan ICT serta kursus reka bentuk dan fotografi juga boleh memohon kepada pihak kita di mana kita akan menyediakan pegawai yang terlatih dalam bidang berkaitan," jelasnya.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment