Thursday, September 5, 2013

Lagu Negaraku Di Pawagam: KKMM Dapatkan Maklum Balas Orang Ramai


Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung keberkesanan pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku di pawagam terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskannya pada masa hadapan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pada keseluruhannya setelah lagu Negaraku berkumandang di pawagam, semua penonton berdiri kecuali beberapa insiden kecil di Pulau Pinang apabila ada beberapa penonton tidak berdiri.

"Keseluruhannya sambutan adalah baik. Cuma kita akan mendengar maklum balas mengenai apakah ia perlu dipanjangkan tempoh atau mengulangi pada tahun depan berasaskan kepada kaji selidik yang kita akan edarkan selepas ini.


"Kes seumpama di sana adalah kes terpencil. Ada tempat yang ditegur oleh pihak pawagam dan ada juga disergah oleh penonton-penonton sendiri yang marah sekiranya ada penonton yang tidak menghormati lagu Negaraku," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka hari raya Parlimen Kemaman di Dataran Kuala Kemaman di Kemaman, Ahad yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records Aziz Hamdan.

Ahmad Shabery sebelum itu menerima lintas hormat dan kedatangan lebih 1,000 peserta program Jelajah Bot Fiber dan bot nelayan di persisiran pantai dengan membawa serta mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 dan Merdeka Raya 2013.

Beliau berkata pada peringkat awal, kementerian itu mempunyai masalah berkaitan format filem yang mereka edarkan dalam format digital kerana ada sebahagian pawagam masih menggunakan kaedah filem biasa 35mm. Justeru katanya masa diperlukan untuk mengubah suai format itu bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.


No comments:

Post a Comment