Sunday, September 15, 2013

Lapan Premis Diarah Tutup Di Marang

Dua anggota penguat kuasa mengenakan kompaun ketika mengadakan pemeriksaan di pejabat kerajaan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok dalam operasi dijalankan di Marang.
Hasil pemeriksaan terhadap 19 premis makanan di daerah Marang yang dijalankan untuk meningkatkan tahap kebersihan, sebanyak lapan premis diarah ditutup sementara selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana terdapat sarang tikus.

Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Faizan Ghazali berkata, kesalahan lain turut dikesan termasuklah tahap kebersihan premis yang rendah dan pembuangan sisa makanan tidak sempurna, selain tidak memakai apron serta penutup kepala.

Menurutnya, dalam operasi penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975) pula, sebanyak 10 premis diperiksa, manakala empat lokasi pembiakan Aedes dikesan sebelum kompaun dikeluarkan di bawah APSPP 1975.

“Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) turut dijalankan bagi memastikan tempat-tempat awam diwartakan sebagai tempat larangan merokok, bebas daripada asap rokok.

“Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan di bawah kesalahan PPKHT 2004 selepas 19 tempat larangan merokok diperiksa," katanya dalam Operasi Bersepadu Pejabat Kesihatan Daerah Marang yang menjalankan penguatkuasaan Akta Makanan 1983.

Dr Faizan berkata, operasi diketuai Pejabat Kesihatan Marang itu dibantu kakitangan pejabat kesihatan dari seluruh daerah termasuk pegawai penguat kuasa dari pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Operasi bersepadu itu turut disertai unit penguatkuasaan Majlis Daerah Marang dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Marang,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan dilakukan di sekitar daerah, pejabat kerajaan dan kawasan tumpuan awam itu bagi memastikan semua peruntukan dipatuhi demi kepentingan kesihatan masyarakat.

SH Online

No comments:

Post a Comment