Sunday, September 15, 2013

Malaysia Juara Pestabola Merdeka Edisi Ke-41 Kalahkan Myanmar 2-0


Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka buat kali ke-10 selepas mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur di Kuantan, malam semalam.
Wan Zack Haikal...pemain terbaik

Kejayaan tersebut membolehkan skuad Bawah 23 (B-23) negara kendalian Ong Kim Swee mengulangi pencapaian juara yang diraih skuad sama pada 2007 dengan mengalahkan pasukan itu 3-1 di Stadium Shah Alam.

Pada perlawanan semalam, Malaysia nyata begitu ghairah untuk memburu gol pendahuluan sebaik sahaja pengadil dari Thailand, Teetichai Nualjan meniupkan wisel permainan.


Kehadiran hampir 30,000 penyokong tempatan termasuk 2,000 penyokong setia, Ultras Malaya nyata menyemarakkan semangat barisan muda negara untuk menjulang trofi berprestij itu.

Pemain tengah, Putera Nadher Amarhan hampir meletakkan pasukan muda negara di hadapan pada minit ke-16 namun sepakan beliau sedikit melepasi pintu gol pasukan Myanmar.

Gol yang dicari-cari akhirnya menjelma menerusi sentuhan penyerang, Md Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-29.

Ia berpunca daripada sepakan kencang pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung sebelum Md Rozaimi menyambar bola berkenaan untuk gol pendahuluan.

Skuad muda negara terus 'bernafsu' untuk menambah jaringan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Myanmar namun gagal sehingga berakhirnya babak pertama.

Hujan pada awal separuh masa kedua nyata tidak menggugat jentera serangan negara yang terus melancarkan serangan bertubi-tubi dan Putera Nadher meledak gol kemenangan pada minit ke-94.

Skuad muda negara sebelum ini mencatatkan rekod tanpa kalah pada tiga perlawanan peringkat awal kejohanan edisi ke-41 itu.

Mereka mengalahkan Singapura 1-0, Myanmar 2-1 dan Thailand 3-0.

Selaku juara, skuad negara menerima trofi Piala Pestabola Merdeka yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada kapten, Mohd Irfan Fazail.

Selain trofi, skuad negara turut menerima hadiah wang tunai US$50,000 (RM164,500) manakala naib juara Myanmar membawa pulang US$20,000 (RM65,800).

Lebih manis, Wan Zack Haikal dijulang selaku pemain terbaik perlawanan akhir manakala Md Rozaimi memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan tiga gol.

Terdahulu, Singapura meraih tempat ketiga selepas mengalahkan Thailand 2-1. Singapura menerima hadiah wang tunai US$10,000 (RM32,900).

No comments:

Post a Comment