Monday, September 30, 2013

Mardi, Ketengah Majukan Ekopelancongan, Pertanian Di Tasik Kenyir

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam memajukan lagi bidang ekopelancongan dan pertanian di Tasik Kenyir.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Tasir Kenyir memiliki potensi sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini selain bidang pertanian, dan Ketengah memainkan peranan yang besar dalam pembangunan di kawasan itu.

"Ketengah telah banyak berusaha untuk meningkatkan sektor pelancongan dan pertanian di Tasik Kenyir, dan sebab itu, kita melalui Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) akan bekerjasama meningkatkan produk yang sedia ada," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketengah dan Mardi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata berikutan kerjasama itu, penduduk di wilayah Ketengah, khasnya Terengganu, akan mendapat pembangunan lebih pesat dalam bidang pertanian, keusahawanan, pendidikan dan pelancongan. 

Katanya, pembangunan pesat di kawasan itu bakal menjadi pemangkin kepada Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata Tasik Kenyir berjaya menarik kira-kira 400,000 pelancong dalam masa setahun, dan beliau yakin jumlah itu akan mencecah sejuta pengunjung apabila Zon Bebas Cukai di kawasan berkenaan siap menjelang 2015.

Beliau berkata Tasik Kenyir, yang mempunyai 340 pulau dan lebih besar daripada Singapura, akan terus dimajukan khasnya sebagai tarikan utama ekopelancongan.

Menerusi MoU berkenaan, Mardi dan Ketengah setuju bekerjasama dalam pembangunan bidang pertanian serta komuniti petani melalui perkongsian dan pemindahan teknologi selain kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta latihan.

Ketengah diwakili Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud manakala Mardi oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sharif Haron.

Majlis menandatangani MoU disaksikan Ahmad Said dan Mohd Shafie.

No comments:

Post a Comment