Thursday, September 5, 2013

MAS Tawar Lebih Satu Juta Tiket Pada Pameran MATTA

Malaysia Airlines (MAS) kini bersedia untuk acara dwi-tahunan, Pameran MATTA, dengan menawarkan lebih satu juta tempat duduk dengan diskaun sehingga 55 peratus.

Naib Presiden Kanannya Muzammil Mohamad berkata jualan akan dipacu tawaran eksklusif yang dibuat sempena pameran tersebut.

"Tahun ini kami melanjutkan tempoh sah laku tambang penerbangan MAS daripada sebulan kepada tiga bulan dan tambang berkenaan sedia bagi perjalanan sehingga pertengahan 2014," kata beliau dalam sidang media di Petaling Jaya, Isnin.

Muzammil berkata tambang dari semenanjung Malaysia ke destinasi antarabangsa diberi tawaran istimewa bagi pameran ini dengan menyerap kos penerbangan domestik bagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan dari Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang dan Johor ke destinasi antarabangsa.

Syarikat penerbangan nasional itu juga menawarkan tambang khas ke destinasi baharunya termasuk ke Kochi (India), Darwin (Australia) dan Dubai serta laluannya yang popular seperti Perth, Bali, Manila, Kathmandu, Guangzhou, Kunming dan Hong Kong.

"Penumpang kelas ekonomi boleh menikmati tambang destinasi domestik daripada serendah RM150 termasuk semua, pergi balik, destinasi Asean daripada serendah RM160, China daripada RM699, Asia Utara daripada RM999 dan ke destinasi oneworld MAS di Australia daripada RM2,199 dan destinasi oneworld di Eropah daripada RM2,999.

"Bagi pengembara kelas Busines, kadarnya bermula daripada RM599 termasuk semua ke laluan domestik atau Asean, daripada RM1,999 ke Chennai, Dhaka atau Male dan daripada RM2,999 ke Perth dan Darwin," katanya.

Anak syarikat MAS, Firefly juga akan menawarkan beberapa pakej tawaran istimewa (penerbangan dan penginapan) yang termasuk pakej 'Free and Easy' ke destinasinya, tiga hari dua malam ke Singapura bermula dari RM939, lawatan ' Free and Easy' ke Langkawi selama tiga hari dua malam bermula daripada RM449 dan pakej pelancongan tiga hari dua malam ke Medan yang bermula daripada RM859.

Pada masa ini, syarikat penerbangan komuniti itu mengadakan kempen tambang rendah yang menawarkan 500,000 tempat duduk dengan tambang daripada RM49 dan pengembara digalakkan membuat tempahan.

No comments:

Post a Comment