Friday, September 20, 2013

Muzium Terengganu Anjur Festival Gamelan 2013

Gambar hiasan...permainan Gamelan Melayu.
Bagi memartabat dan memelihara seni gamelan, kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan Festival Gamelan Sedunia 2013 selama tiga hari bermula 25 Oktober ini.

Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah berkata, festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan Simposium Gamelan yang diadakan pada 2008 dan 2010.

Menurutnya, festival yang akan diadakan di Dataran Shahbandar ini akan turut disertai beberapa buah kumpulan dari luar negara, termasuk kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China.

"Festival ini juga akan turut disertai beberapa kumpulan gamelan tempatan dan profesional tempatan seperti Hand Percussion, Kumpulan Pak Ngah, Kumpulan Gamelan Istana Budaya dan beberapa kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta," katanya semalam.

Mohd Yusof berkata sempena festival ini beberapa aktiviti seperti pameran, persembahan gamelan serta gerai jualan akan turut diadakan. Katanya satu sesi bengkel gamelan akan turut diadakan dengan memfokuskan kepada permainan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan Jawa.

"Bengkel ini akan dikendalikan tiga pakar muzik gamelan dan sejumlah 400 peserta terdiri daripada pelajar IPT dan penggiat seni gamelan akan menyertai bengkel ini," katanya. Mohd Yusof berkata melalui bengkel ini diharapkan agar peserta dapat menguasai asas alat muzik gamelan.

"Festival yang melibatkan seluruh karyawan muzik dan tari gamelan seluruh dunia secara eksklusif ini bakal menjadi penyumbang terbesar ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai destinasi khusus yang menjadi ikon kesenian gamelan dunia," katanya.

No comments:

Post a Comment