Ahmad Fauzi (kiri) tidak dapat menahan sebak apabila dikunjungi Wan Hapandi di rumahnya di Teluk Lipat, kelmarin. |
Tiada kata-kata dapat diucapkan Ahmad Fauzi, 52, selain menitiskan air mata tanda rasa terharunya sebaik melihat kelibat Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Menurut isteri Ahmad, Aniza Busun, 41, kejadian menimpa suaminya berlaku beberapa minggu lalu selepas dia menunaikan solat Subuh.
Kata Aniza, selepas solat, suaminya memanggil namanya beberapa kali dan apabila dihampiri, dia melihat suaminya sudah tidak bermaya lalu terus menghantarnya ke hospital.
Menurutnya, rawatan awal mendapati suaminya berkemungkinan menghadapi masalah tekanan darah pada bahagian saraf dan pemeriksaan sinar-x dilakukan bagi mengesahkan penyakitnya.
“Pihak Hospital Dungun hantar suami ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. “Selepas beberapa hari berada di wad, keadaannya bertambah baik, namun sampai sekarang dia tidak boleh lakukan kerja berat,” katanya.
Aniza berkata, selepas kejadian itu, kehidupannya makin terhimpit apabila mereka hilang sumber pendapatan menyebabkan dia terpaksa membuat kuih untuk menyara keluarga termasuk menjaga seorang anaknya, Aiman Faizal, 19, yang berstatus OKU.
Wan Hapandi yang juga Ketua Lajnah Kebajikan Pas Dun Sura selain bertanya khabar turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada Ahmad yang sebelum ini menjalankan perniagaan warung makan di Pantai Teluk Lipat.
No comments:
Post a Comment