Thursday, September 12, 2013

Perdana Menteri Lancar Program Walk4Malaysia Esok


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan program Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) esok di pejabatnya di Putrajaya.

Najib akan menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Terengganu kepada 120 peserta yang akan mengambil bahagian dalam program 13 hari berjalan kaki dari Kuala Besut, Terengganu ke Putrajaya bermula 22 Sept ini anjuran kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Induk program itu Roshali Taha berkata program itu bertujuan menunjukkan sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Antara peserta yang akan mengambil bahagian ialah kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Besut Mohd Noor Mat, 47, yang akan menunaikan nazar untuk berjalan dari Kuala Besut ke Putrajaya atas kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai lalu.

Beliau menyatakannya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

"Peserta akan berjalan kaki sejauh 600 kilometer bermula di Dataran Kuala Besut, Besut selama lapan jam sehari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, dan akan berhenti di 13 destinasi yang telah ditetapkan sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya sehingga tiba di destinasi terakhir iaitu di Putrajaya," katanya. 

Roshali berkata sebanyak 30 agensi kerajaan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk 10 pelajar tahfiz dari Majlis Belia Negeri Terengganu akan turut serta dalam program ini.

Pelajar tahfiz ini akan cuba menghabiskan 30 juzuk Al-Quran sekurang-kurangnya khatam sebanyak tiga kali selama program ini berlangsung, katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menjadikan program ini sebagai program tahunan jika mendapat sambutan menggalakkan.

Program itu turut mendapat penajaan daripada beberapa anak syarikat kerajaan negeri antaranya Terengganu Incorporated, Epic Berhad, Konsortium Pelabuhan Kemaman Berhad, TDM Berhad, Golden Pharos Berhad dan Percetakan YIT Berhad.

Peserta program ini akan disambut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Perkarangan Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya pada 4 Oktober ini, katanya.

No comments:

Post a Comment