Persidangan Pendidikan (Penyelidikan dan Inovasi) dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (CIE-TVET) mampu melahirkan penyelidik yang berupaya menghasilkan inovasi untuk dikomersialkan di peringkat global.
Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata CIE-TVET bertujuan membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pensyarah dan pelajar serta memperkasakan profesionalisme warga pendidik ke arah meningkatkan kualiti graduan.
"Persidangan ini juga dapat memperteguhkan ilmu pengetahuan peserta berkaitan penyelidikan secara berterusan supaya dapat menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan ke peringkat global.
"Pada persidangan kali ini, sebanyak 130 kertas kerja akan dibentangkan dengan penyertaan seramai 183 peserta dan pembentang dari Institut Pengajian Tinggi Awam serta delegasi antarabangsa dari Regional Cooperation Platform (RCP), Tongji University, China," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan CIE-TVET 2013 di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
Persidangan itu anjuran UTHM, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Pusat Pendidikan Teknik dan Vokasional Termaju (ACTIVE) UTHM, Politeknik Kuala Terengganu dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment