Wednesday, September 25, 2013

Petronas Rancang Laksana Teknologi EOR Di 14 Lapangan Minyak Matang

Syarikat minyak nasional, Petronas, merancang melaksanakan teknologi Pemulihan Minyak Dipertingkatkan (EOR) bagi meningkatkan pengeluaran di 14 lapangan minyaknya yang matang di masa depan.

Naib Presidennya bagi Unit Pengurusan Petroleum (PMU) Ramlan Malek berkata lapangan minyak yang matang itu dikenal pasti bagi kemungkinan teknologi EOR berdasarkan kepada kajian pemeriksaan yang dikendalikan oleh Petronas.

"Ya, sudah tentu kami mencari lapangan minyak lain juga dan berdasarkan kepada kajian pemeriksaan, kami telah mengenal pasti 14 lapangan minyak di mana kami boleh melaksanakan EOR di masa depan.

"Tapis merupakan yang pertama, lapangan minyak lain kami akan melaksanakannya secara progresif," katanya pada sidang media semalam,

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis meraikan 'EOR Technology: Tapis-R Topsides Onshore Fabrication' di Pekarangan Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE) di Pasir Gudang.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. J. Hunter Ferris dan Naib Presiden Eksekutif Eksplorasi dan Pengeluaran Petronas Wee Yiaw Hin.

Menurut Ramlan, lima daripada lapangan minyak matang yang akan dipertingkatkan dengan teknologi EOR terletak di luar pantai Sarawak dan empat di luar pantai Sabah. Selebihnya terletak di Semenanjung Malaysia.

Empat belas lapangan minyak itu termasuk Baram di Sarawak, St Joseph di Sabah dan Tapis serta lapangan minyak Dulang di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, dalam taklimat awal sebelumnya, Ketua Program EOR Petronas, Dr Nasir Darman berkata tarikh bagi pemasangan akhir Tapis-R topsides dijangkakan pada suku pertama tahun depan.

Dengan teknologi EOR, pengeluaran semasa di lapangan minyak Tapis yang biasanya antara 4,000 dan 6,000 tong sehari (bpd), boleh dipertingkatkan untuk mencapai antara 25,000 dan 35,000 bpd pada 2016-2017.

"Dengan teknologi EOR, kami boleh melanjutkan jangka hayat lapangan minyak matang Tapis kepada 30 hingga 40 tahun lagi," katanya sambil menambah tanpa EOR, kadar pengeluaran semasa di Tapis akan berkurangan kepada hanya 3,000 bpd.

Nasir berkata dengan pengenalan teknologi EOR, Petronas berpotensi memperoleh antara 750 juta hingga satu bilion tong minyak dari lapangan minyak matang itu yang berada di seluruh perairan Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Nasir berkata Tapis merupakan satu daripada projek EOR luar pantai terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dan pelaksanaan suntikan air berselang seli gas luar pantai lapangan minyak penuh besar-besaran pertama Malaysia.

Projek EOR Tapis merupakan satu daripada 19 projek permulaan dan dikendalikan oleh Exxonmobil Exploration and Production Malaysia di bawah kontrak perkongsian pengeluaran 2008 dengan Petronas Carigali dan Petronas.

Jumlah kos pembangunan projek itu dianggarkan kira-kira RM10 bilion. Lapangan minyak Tapis terletak kira-kira 200km di luar pantai Terengganu.

No comments:

Post a Comment