Sunday, September 29, 2013

Portal Berita Diberi Amaran, Hentikan Laporan Pertahan Chin Peng

Polis dilaporkan memberi amaran kepada portal-portal berita online yang masih menyiarkan kenyataan serta laporan yang dilihat mempertahankan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis tidak akan teragak-agak menahan pihak berkenaan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya meneruskan perbuatan tersebut yang boleh mengancam demokrasi berparlimen negara ini.

"Saya mengingatkan mereka di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, apa juga tindakan yang boleh mengancam demokrasi berparlimen kita boleh ambil tindakan di bawah seksyen itu dan siasatan juga boleh dibuat di bawah SOSMA.. Jangan bagi salah nasihat kepada orang ramai kerana ini perkara serius.

"Saya ambil berat perkara ini dan menasihatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan nasihat portal berita online tersebut kerana mereka adalah daripada kalangan orang yang kurang cerdik memberi nasihat," katanya. dipetik dalam laporan Utusan Malaysia semalam.

Laporan itu tidak menamakan portal berita terbabit, tetapi melaporkan bahawa Khalid mengulas laporan yang mempertikaikan halangan membawa masuk abu mayat Chin Peng yang meninggal dunia di Bangkok pada 16 September lalu ke negara ini.

Menurut Khalid, membawa masuk abu atau mayat tanpa permit telah termaktub dalam Akta Kawalan Penyakit Berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengimportan dan Pengeksportan Mayat, Tisu Manusia dan Organisma Atau Bahan Patogenik) 2006. 

"Sesiapa yang nak membawa apa juga remains atau abu mayat masuk ke negara ini tanpa permit itu akan menjadi satu kesalahan. Kita takut abu mayat ini ada penyakit berjangkit," katanya.

No comments:

Post a Comment