Monday, September 30, 2013

Projek Rimbunan Kasih Untuk 100 Nelayan Miskin di Rantau Abang

Sebuah projek penempatan semula nelayan miskin akan diwujudkan di Rantau Abang, Dungun melalui projek Rimbunan Kasih khusus untuk mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai permulaan, 100 nelayan miskin akan dikenal pasti melalui senarai e-Kasih untuk menyertai program itu.

Beliau berkata, kumpulan nelayan ini akan menanam mass melon, menternak ikan keli dan pelbagai aktiviti pertanian lain untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menyediakan tanah dan kemudahan infrastruktur lain pula akan disediakan kerajaan pusat di kawasan seluas 40 hektar itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian projek Agropolitan Besut Setiu di Kampung Panchur Bederu di Setiu, semalam.

Rimbunan Kasih di Dungun itu bakal menawarkan 100 buah rumah dengan beberapa kemudahan asas lain dan pertanian moden seperti fertigasi dan akuaponik di belakang rumah di penempatan baharu itu.

Melalui program itu, setiap keluarga dianggarkan mampu meraih pendapatan minimum RM1,200 setiap bulan.

No comments:

Post a Comment