Friday, September 13, 2013
'Saya Sayang Isteri, Jangan Robohkan Masjid' - Pegawai Veterinar
Pegawai veterinar yang berdepan tuduhan membelasah isterinya di dalam lif pada bulan lalu, menyatakan dia masih menyayangi wanita tersebut dan mahu keluarganya hidup bahagia.
''Saya sayang isteri dan keluarga mentua janganlah robohkan masjid yang sudah dibina,'' kata Muhammad Affandi Ismail, 36, dari dalam keretanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes itu di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam.
Majistret Nur Zafirah Mohamed Ali sebelum itu menetapkan 22 Oktober ini sebutan semula kes terhadap tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Muhammad Affandi diwakili peguam Suhaila Saad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.
Nama isteri tertuduh dirahsiakan kerana berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah.
Pada 12 Ogos lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video sepanjang 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun Facebook.
Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan yang dikatakan seorang pegawai veterinar bertugas di Jerantut, Pahang itu menendang isterinya, seorang pekerja kilang sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka.
No comments:
Post a Comment