Thursday, September 19, 2013

Suhaimi Nafi Laporan Sejumlah Kereta Mewah Dirampas SPRM

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet Datuk Suhaimi Ibrahim menafikan laporan akhbar pada Rabu bahawa sejumlah kereta mewah yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah milik beliau.

Suhaimi merupakan setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewaktu Shahrizat menjadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

"Tidak satu pun kereta saya ditahan oleh SPRM," katanya di Petaling Jaya, semalam.

Suhaimi juga mendakwa bukan beliau seorang sahaja yang dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan berkaitan satu projek kerajaan, tetapi juga beberapa individu lain.

SPRM baru-baru ini mengesahkan suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan telah memanggil seorang bekas setiausaha politik untuk membantu siasatan

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin dengan kewibawaan dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap projek penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang dilaporkan media kelmarin.

 Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyakarat itu dalam satu kenyataan dua perenggannya semalam berkata siasatan itu menunjukkan bahawa SPRM telus menjalankan tugasnya sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali.

Menurut laporan, SPRM menahan seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kabinet Jumaat lepas bagi membantu siasatan berkaitan satu projek di bawah program berkenaan. Individu itu bagaimanapun dibebaskan pada Selasa setelah diambil keterangan.

No comments:

Post a Comment