Walaupun peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia sudah mustahil, pemain T-Team ditagih mempamer aksi terbaik pada pertemuan dengan Felda United Sabtu ini.
Penolong Pengurus pasukan Mohamad Sekanther Hamid berkata pasukan itu harus memastikan tiga mata penuh milik mereka kerana perlawanan terakhir itu berlangsung di laman sendiri.
"Kita juga tidak mahu ketinggalan jauh dari segi mata dengan dua pasukan teratas," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu.
Selepas lima perlawanan, T-Team berada di tangga ketiga dengan enam mata di belakang Johor Darul Takzim dan PKNS, manakala Felda United pula di tempat terakhir dengan tiga mata, dalam saingan Kumpulan B itu.
"Dengan kerjasama sebagai satu pasukan, kita yakin akan dapat melaksanakan tugasan itu apatah kita pernah mengalahkan pasukan Felda United dalam perlawanan pertama 1-0 di Stadium Temerloh sebelum ini," katanya.
Mohamad Sekanther juga mengharapkan peminat bola sepak Terengganu tetap hadir memberi sokongan kepada T-Team pada malam itu.
No comments:
Post a Comment