Thursday, September 12, 2013

Taman Ilmu Tembila Terima 603 Pelajar Sulung Dari Unisza

Taman Ilmu, pusat kecemerlangan bertaraf antarabangsa di Tembila di Tembila, kelmarin menerima 603 pelajar sulung terdiri pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kampus Tembila yang mula beroperasi di kawasan itu.

Pengarah Unisza Kampus Tembila Prof Dr Che Abdullah Abu Bakar berkata kampus itu menerima kemasukan pelajar peringkat ijazah untuk dua fakulti - Fakulti Pertanian, Bioteknologi dan Sains Makanan serta Fakulti Informatik dan Komputeran.

Katanya kampus baharu itu dilengkapi dengan bilik kuliah tiga tingkat, tiga blok asrama yang boleh menampung 920 pelajar, surau, bangunan pentadbiran dan kaferia.

"Pelajar yang mendaftar terdiri daripada pelajar semester 1 serta pelajar semester 2 dan 3 yang dipindahkan dari Kampus Unisza di Kuala Terengganu secara berperingkat mulai hari ini (kelmarin)," katanya kepada pemberita semasa memantau pendaftaran pelajar di kampus berkenaan.

Pembinaan Taman Ilmu Besut diilham bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah Barisan Nasional berjaya merampas kembali pentadbiran negeri daripada PAS.

Taman Ilmu melibatkan kawasan seluas 280 hektar yang mampu menampung enam buah institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

No comments:

Post a Comment