Thursday, September 5, 2013

Waran Tangkap Terhadap 'SiTanggang Moden' Dilanjut

"Tidak akan berputus asa..."
Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, melanjutkan waran tangkap terhadap pengurus syarikat cari gali minyak, Nasrun Mustafa, 40, dan memerintahkan tangkapan terhadapnya dibuat pada bila-bila masa.

Hakim Syarie, Rosdi Harun, mengeluarkan perintah itu selepas Nasrun yang berdepan perintah waran tangkap difailkan bapanya, Mustafa Ismail, 67, gagal dihadapkan ke mahkamah sehingga kini.

Dalam sebutan kes itu semalam, Rosdi memaklumkan mahkamah menerima surat Nasrun yang memohon penangguhan kes atas alasan bekerja di pelantar minyak.

Berikutan itu, Rosdi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Nasrun yang terus mengingkari perintah mahkamah dan menetapkan 6 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mustafa yang ditemui selepas itu menegaskan tidak akan berputus asa dan akan menggunakan saluran mahkamah hingga anaknya ditangkap.

Pada 29 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Nasrun kerana gagal membayar nafkah kepada ibu bapa dan dua anaknya.

No comments:

Post a Comment