Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Jumaat mengesahkan sebanyak 22 daripada 38 calon yang sebelum ini diumumkan tidak layak bertanding atas pelbagai faktor, dibenarkan bertanding pada pemilihan sayap parti yang diadakan hari ini dan peringkat bahagian pada minggu depan.
Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Muda Mamat berkata 17 calon yang dibenarkan bertanding itu memang belum cukup tempoh matang 36 bulan bersama Umno, tetapi parti mengambil kira rungutan calon memandangkan ada calon yang diberi pengecualian sebelum ini.
"Jadi dengan kebenaran yang diberi itu, kesemua 17 mereka kini sudah boleh bertanding dan diharap tiada apa-apa isu timbul selepas ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Lima lagi calon dibenarkan bertanding setelah semakan dibuat dengan Jabatan Insolvensi dan mendapati tiada lagi masalah berkaitan jaminan pinjaman dan muflis.
Enam belas calon pula sah tidak dibenarkan bertanding kerana masih mempunyai masalah dengan Jabatan Insolvensi.
Sebanyak 1,567 borang pencalonan diterima oleh jawatankuasa itu - 601 bagi pemilihan peringkat Bahagian, Pergerakan Wanita (311), Pemuda (399) dan Puteri (256).
Beliau menjangkakan proses pengundian bagi negeri ini mengambil masa lima jam iaitu dari pukul 10 pagi hingga 3 petang manakala proses pengiraan mengambil masa kira-kira empat jam dan keputusan pemilihan akan dapat diberikan kepada media selewat-lewatnya pukul 7 malam.
"Sebanyak 21,694 anggota perwakilan Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Terengganu akan membuat penentuan pemimpin pilihan masing-masing pada esok dan minggu depan.
"Daripada jumlah itu sebanyak 7,938 orang ialah perwakilan Bahagian, Wanita (5,098), Pemuda (4,927) dan Puteri (3,731)," katanya.
Beliau berkata sebanyak 24 tempat dijadikan mesyuarat pemilihan untuk pengundian pemimpin sayap parti hari ini.
Setiap bahagian pula akan menyediakan tiga tempat untuk mesyuarat bagi melicinkan lagi proses pemilihan, katanya.
No comments:
Post a Comment