Tuesday, October 22, 2013

28 Juta Pelancong, RM76 Bilion Sasaran TMM 2014 - Muhyiddin

Muhyiddin memalu gong merasmikan persidangan.
Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 menyasarkan rekod baharu 28 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan perbelanjaan pelancong sebanyak RM76 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Bertemakan 'Celebrating 1Malaysia, Truly Asia', beliau berkata inisiatif di bawah TMM akan menonjolkan tarikan unik kekayaan kebudayaan dan warisan negara melalui pelbagai kumpulan etnik yang hidup dengan harmoni.

"TMM 2014 bukan hanya mengenai menganjurkan lebih banyak acara dan memperhebat pemasaran serta promosi, yang paling penting ialah menyiapkan negara untuk bersedia menawarkan hospitaliti rakyat Malaysia dan menukar pemikiran mereka dalam usaha Malaysia menjadi negara yang mesra pelancong.

Exco Pelancongan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie (dua dari kiri) turut sertai sidang.


"Dalam proses itu, TMM 2014 menggerakkan keseluruhan industri dan negara untuk meningkatkan rantaian nilai produk dan perkhidmatan pelancongan yang boleh menyumbang ke arah menjadikan Malaysia destinasi pelancongan utama," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Pelancongan Dunia 2012 di Melaka semalam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) Zoltan Somogyi.

Persidangan tiga hari itu dihadiri 678 anggota perwakilan dari 46 negara termasuk United Kingdom, Portugal, China, Australia, Argentina, Afrika Selatan, Guatemala, Singapura dan Brunei.

Muhyiddin berkata peranan kerajaan untuk menyasarkan dan memajukan pelancongan sebagai sektor yang diberi keutamaan, telah menjadi faktor pengubah dalam industri ini.

Katanya ia boleh dilihat melalui fasa pertama yang dilakukan sepanjang tempoh 1998 hingga 2010, apabila pelancongan dikenal pasti sebagai sektor utama untuk menangani kemerosotan ekonomi dan menjadi sumber baharu pertumbuhan.

Kerajaan, kata timbalan perdana menteri, menyediakan dasar-dasar yang perlu dan menginstitusikan rangka kerja serta mewujudkan suasana yang membolehkan dan memudahkan para pelancong.

"Fasa kedua peranan penting kerajaan sebagai pengubah keadaan dan penentuk rentak industri itu boleh dilihat melalui pelancaran Program Transformasi Ekonomi dalam bulan September 2010... (apabila) pelancongan dikenal pasti sebagai satu daripada 12 bidang utama ekonomi negara (NKEA)," katanya. 

Muhyiddin berkata prospek bagi pelancongan amat cerah berdasarkan trend utama pertumbuhan kependudukan dunia daripada 7.1 bilion penduduk tahun lepas kepada anggaran 8.3 bilion penduduk dalam tahun 2030, dengan kenaikan pendapatan dan kualiti kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata senario positif ini disokong oleh kajian UNWTO yang mengunjurkan purata pertumbuhan tahunan ketibaan pelancong antarabangsa sebanyak 3.3 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2030, dengan kadar pertumbuhan yang diramalkan dari 940 juta dalam tahun 2010 kepada 1.8 bilion pada 2030. 

Timbalan perdana menteri berkata perlu diberi perhatian bahawa rantau Asia Pasifik akan menjadi pasaran yang tumbuh paling pesat dari segi pelancong masuk dan keluar dengan jumlah ketibaan diunjurkan meningkat 330 juta dalan dua dekad dari 204 juta pada tahun 2010 kepada 535 juta tahun 2030. 

"Pencapaian industri pelancongan di seluruh dunia masih mempunyai prospek yang cerah dengan ketibaan pelancong antarabangsa tumbuh pada kadar yang lebih pantas pada separuh pertama 2013, iaitu sebanyak lima peratus berbanding unjuran kadar pertumbuhan tiga hingga empat peratus tahun ini. Ini menunjukkan industri pelancongan mengatasi jangkaan yang ditetapkan dan akan kekal kukuh," katanya.

No comments:

Post a Comment