Seorang pelajar tingkatan lima Kolej Vokasional Besut maut selepas motosikalnya dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam nahas di simpang empat di Kampung Gelam Mas, Besut, malam kelmarin.
Dalam kejadian 10.45 malam itu, Muhamad Amirul Shafiq Rosdi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa rakan di Kampung Raja.
Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda berkenaan yang datang dari arah Kuala Terengganu gagal berhenti di simpang empat itu lalu melanggar mangsa yang menunggang seorang diri, katanya ketika dihubungi.
Pemandu yang berasal dari Jengka, Pahang itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya awal semalam.
No comments:
Post a Comment