Saturday, October 5, 2013

Fama Beli Duku Daripada Pekebun Di Terengganu Untuk Stabilkan Harga


Bagi menstabilkan harga buah duku di pasaran tempatan dan negara jiran, Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (Fama) membeli buah duku daripada pekebun-pekebun duku di negeri ini.

Pengarah Fama Wilayah Pahang/Terengganu Mamat Yunos berkata Fama setakat ini sudah membeli lebih 200 tan metrik duku pada harga RM1,100 setan metrik.

"Sekarang ini kita sedang rancak membeli buah duku dari ladang-ladang di sekitar kawasan Besut, Hulu Terengganu dan Marang," katanya Khamis.

Menurut Mamat, pembelian buah duku berkenaan dibuat menerusi 10 pusat pembelian yang diwujudkan oleh Fama di kawasan sasaran.

Beliau berkata harga duku di peringkat ladang kini antara RM1.00 dan RM1.10 sekilogram manakala harga runcit kira-kira RM2.00 sekilogram.

Mamat berkata 70 peratus daripada buah-buah duku yang dibeli Fama itu dihantar ke Kuala Lumpur manakala bakinya dipasarkan di Melaka dan Johor.

"Kita difahamkan buah-buah duku Terengganu itu juga dihantar ke Singapura dan Indonesia," katanya sambil menambah Fama akan terus membeli selagi buah berkenaan masih ada.

Katanya di luar Terengganu, buah duku dikatakan dijual pada kadar RM10 untuk tiga kilo.

Beliau berkata selain Fama, pemborong individu juga turut membeli buah-buah duku di Terengganu, sama ada untuk pasaran tempatan atau luar Terengganu.

Selain itu Mamat berkata Fama juga membeli buah dokong dari pemilik ladang dokong di negeri ini bagi mengurangkan peranan orang tengah, dan setakat ini agensi itu sudah membeli sebanyak 20 tan metrik dokong pada harga RM1.10 sekilogram, terutama di kawasan Hulu Besut.

"Tindakan Fama membeli buah duku dan dokong ini diharap tidak akan mewujudkan lambakan buah-buahan di negeri ini seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment