Isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud turut membuang undi pada pemilihan di UMNO Bahagian Kemaman. |
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri, Datuk Muda Mamat berkata, keseluruhan perwakilan di kesemua bahagian berjumlah 7,985 orang.
Menurutnya, jumlah perwakilan tertinggi adalah di Marang iaitu lebih 1,000 orang diikuti Kemaman seramai 843 orang.
“Di semua bahagian di Terengganu setakat ini, perjalanan pemilihan berjalan dengan baik. Pengurusan pemilihan juga lancar mengikut arahan dan prosedur yang ditetapkan, namun di Kemaman pengurusannya nampak lebih teliti.
“Di Kemaman sendiri, sejumlah kecil sahaja perwakilan yang tidak hadir dan kita jangka di seluruh bahagian dalam dua peratus sahaja perwakilan yang tidak hadir mengundi,” katanya ketika meninjau proses pemilihan pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kelmarin.
Muda berkata, dengan kelancaran proses itu dijangka keputusan akan diketahui seawal jam 9 malam sekiranya tiada proses pengulangan pengiraan undi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan bahagian dapat diselesaikan dengan cepat berbanding proses pemilihan tiga sayap yang diadakan minggu lalu.
“Saya lihat proses pengundian peringkat bahagian kali ini, ruang lebih selesa kerana pemilihan dibuat di satu tempat sahaja.
"Ia berbeza dengan minggu lepas kerana dijalankan di tiga lokasi berasingan. Perjalanan proses membuang undi lebih cepat dan dijangka proses pengiraan undi juga dapat dilakukan lebih awal,” katanya.
No comments:
Post a Comment