Friday, October 18, 2013

Hasrat Terengganu Lahirkan 30,000 Kanak-Kanak Celik al-Quran Tercapai

Majlis khatam al-Quran yang diadakan tahun lalu.
Hasrat kerajaan negeri untuk melihat Yayasan Islam Terengganu (YIT) berterusan menyelaras 30,000 kanak-kanak khatam al-Quran setiap tahun mencapai sasaran tahun ini.

Pengarah YIT, Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pada tahun ini, hampir seramai 35,000 kanak-kanak akan mengikuti majlis khatam al-Quran berbanding kira-kira 31,000 orang tahun lepas.

"Alhamdulillah kita telah dapat menunaikan hasrat kerajaan negeri itu dari setahun ke setahun,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Kamaru Al-Amin berkata, tujuan kerajaan negeri itu adalah yang utamanya untuk melihat kanak-kanak prasekolah celik al-Quran dan bidang agama Islam sebelum mereka melangkah ke darjah satu.

Beliau berkata, majlis pertama yang akan diadakan pada 26 Okt ini ialah program khatam al-Quran pelajar Kafa berumur tujuh hingga 11 tahun melibatkan seramai 23,000 orang.

Sementara program kedua pula ialah majlis khatam Program Pintar al-Quran untuk kanak-kanak Tadika YIT, Kemas, Perpaduan Negara dan prapendidikan negeri yang melibatkan seramai 10,805 kanak-kanak berumur antara lima dan enam tahun.

Katanya majlis tersebut akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak dan dijangka dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment