Monday, October 21, 2013

Isu 'Yang Berbahagia' - Wakil Rakyat Pas Hantar Notis

Wakil rakyat Pas hantar notis Wan Hassan (kanan) pada sidang media di Markas Tarbiyah Pas Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai, kelmarin. 
Empat wakil rakyat Pas akan menghantar notis bantahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pejabat Daerah Dungun dalam masa terdekat berhubung kesilapan Pejabat Daerah Dungun meletakkan gelaran ‘yang berbahagia’ dan bukan ‘yang berhormat’ sebagaimana sepatutnya.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, perkara itu penting untuk diambil tindakan memandangkan pihak terlibat seolah-olah menafikan mereka sebagai wakil rakyat.

Beliau mendakwa, kesilapan gelaran itu berlaku melalui salinan surat berhubung pelupusan kertas undi PRU13 yang diterima daripada Pejabat Daerah Dungun melibatkan beliau dan tiga Adun Pas lain iaitu Adun Rantau Abang; Alias Harun, Adun Sura; Wan Afandi Wan Nik dan Adun Paka, Satiful Bahri Mamat. 



Bagaimanapun beliau berkata, hanya wakil rakyat BN iaitu Adun Bukit Besi, Roslee Daud yang diletakkan gelaran ‘yang berhormat’ dalam salinan surat yang diterima kelmarin.

“Di kawasan lain saya tidak tahu tetapi di kawasan Dungun, Ahli Parlimen dan Adun Pas ditulis dengan gelaran yang berbahagia. Saya sangat kesal dengan perkara ini kerana seolah-olah pihak terlibat tidak mengiktiraf pilihan rakyat.

“Kita bercadang untuk buat satu bantahan kerana tidak menghormati keputusan yang dibuat rakyat,” katanya pada sidang media di Markas Tarbiyah Pas Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai, di Kuala Terengganu,  kelmarin.

Wan Hassan berkata, urusan rasmi perlu dibuat mengikut protokol sepatutnya dan beliau tidak berkira sekiranya ia melibatkan perkara tidak rasmi.

“Kalau tidak rasmi tidak mengapa kerana orang panggil saya dengan panggilan ustaz sahaja. Saya tidak kisah tetapi kalau melibatkan perkara rasmi, ikutlah protokolnya,” katanya.

Sementara itu, Satiful Bahri mewakili Pas negeri turut terkilan dengan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dan menyifatkannya penghinaan terhadap pilihan rakyat dengan membezakan status antara wakil rakyat Pas dan BN.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu menganggap kesalahan tersebut disengajakan dan menegaskan tindakan itu cuba menafikan pilihan rakyat Terengganu.

“Kita berharap akan diambil perhatian oleh pegawai daerah sendiri pada masa akan datang dengan mengamalkan demokrasi pilihan raya dan tindakan kebudak-budakan tidak wajar berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment