Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan semua anggota parti agar mematuhi peraturan dan etika ditetapkan bagi memastikan pemilihan parti tidak menjadi 'pesta' mencari tukang karut atau tukang nyanyi.
Beliau berkata sebagai sebuah parti yang berstruktur, etika dan peraturan dalam pemilihan Umno sudah lama wujud serta diamalkan, dan ia juga diluluskan anggota Umno sendiri.
"Tak payahlah kita nak ghairah buat satu keadaan di mana pemilihan Umno ini dijadikan sebagai pesta. Jangan... kita nak pilih pemimpin, bukan nak pilih tukang nyanyi atau tukang karut, kita nak pilih pemimpin untuk masa depan negara.
"Apa yang dalam etika kata boleh buat, buat, kalau tak boleh buat, jangan buat. Jika esok ada yang tertangkap (disebabkan pelanggaran etika), jangan salahkan mana-mana pihak kerana kita juga adalah parti yang punya struktur.
"Saya harap sesiapa yang bertanding pada pemilihan kali ini sentiasa mengingati cogan kata Umno iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Perumahan Awam Sementara Air Panas A, dekat Kuala Lumpur, yang berlaku pagi semalam.
Beberapa pemimpin dan calon yang bertanding mempersoal tata etika, yang antara lain, tidak membenarkan calon berkempen secara bersendirian dan hanya boleh mempromosi diri melalui majlis rasmi yang diatur Badan Perhubungan Umno setiap negeri.
Mereka berpendapat keadaan itu menyukarkan mereka berkempen terutama calon yang kurang dikenali perwakilan.
Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa kebakaran selain memberi jaminan akan memindahkan mereka ke PPR Bukit Jalil dengan segera.
No comments:
Post a Comment