Tuesday, October 15, 2013

JKKN Anjur Pertandingan Ekspresi Muzik Pada 29 Dan 30 Okt

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu mempelawa peminat muzik di negeri ini untuk menyertai pertandingan pencarian bakat Ekspresi Muzik 2013.

Pengarahnya Zaifri Husin berkata ekspresi muzik itu akan diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Terengganu Kuala Ibai di sini pada 29 dan 30 Okt bermula 9 malam.

"Ini pertama kali JKKN Terengganu menganjurkan program pencarian bakat di negeri ini," katanya hari ini.

Beliau berkata pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu secara berkumpulan maksimum 10 orang dan solo jumlah anggota maksimum dua orang.


Katanya pertandingan bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan generasi muda serta memberi peluang dan ruang kepada mereka mempamerkan kemahiran dan kreativiti menghasilkan muzik dan penciptaan lagu. 

Pertandingan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan menawarkan hadiah utama bagi kategori berkumpulan iaitu johan RM3,500, tempat kedua RM2,500 dan ketiga RM1,500 manakala johan individu RM800, naib johan RM600 dan ketiga RM500.

No comments:

Post a Comment