Tuesday, October 22, 2013

Kepimpinan Transformatif Merealisasikan Usaha Transformasi Perkhidmatan Awam

Kepimpinan transformatif di kalangan penjawat awam mampu merealisasikan usaha Transformasi Perkhidmatan Awam di negara ini demi mencapai visi negara menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata antara sifat pemimpin transformatif ialah mempunyai rangsangan intelektual yang boleh menggalakkan inovasi dan kreativiti serta mempunyai pertimbangan individu yang boleh menjadi mentor atau pembimbing kepada setiap anggota dalam organisasi.

"Justeru itu dengan kepimpinan sebegini, kita mampu manyahut hasrat untuk merakyatkan perkhidmatan awam," katanya dalam teks ucapan pada majlis perasmian Kursus Program Kepimpinan Lanjutan dan Penilaian (A-LEAP) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias.

"Berpegang kepada janji mendahulukan rakyat, penjawat awam mesti menghayati idea 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didokong oleh gerakan budaya kerja secara cepat, tepat, integriti, kreatif dan inovatif," katanya.

Mohamad Zabidi berkata dalam pelaksanaan tranformasi itu, warga perkhidmatan awam dituntut berfikiran lebih terbuka dan mereka juga harus berani memecah tembok kemustahilan untuk merangsang pemikiran bagi mencari jalan penyelesaian dalam melakukan pembaharuan.

Mohamad Zabidi berkata kursus A-LEAP itu diperkenalkan dengan tujuan untuk mengenal pasti bakal pemimpin sektor awam dari segi ilmu pengetahuan, sikap dan ciri-ciri kepimpinan yang sesuai di samping menilai tahap kompetensi kepimpinan setiap peserta untuk dipertimbangkan ke jawatan lebih tinggi. 

Sepanjang program itu peserta akan didedahkan dengan ilmu kepimpinan yang akan disampaikan oleh penceramah daripada Intan dan pegawai daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

No comments:

Post a Comment