Saturday, October 26, 2013

Kesan Bajet 2014 - Kenaikan Harga Rumah Dijangka Terkawal


Bagi  membendung kenaikan harga rumah yang semakin melambung sejak akhir-akhir ini, kerajaan mengumumkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dinaikkan kepada 30 peratus bagi hartanah yang ingin dijual semula dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun.

Sebelum ini, kadar RPGT adalah 15 peratus bagi hartanah yang ingin dijual dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan kerajaan dan sektor swasta akan membina 223 ribu unit rumah baru tahun depan bagi menaikkan bekalan rumah di pasaran.



Persatuan Pemborong Binaan Malaysia percaya langkah kerajaan menaikkan RPGT mampu mengekang kenaikan harga hartanah untuk tempoh waktu tertentu, berikutan kenaikan mendadak sektor itu sejak 2010

Dalam Bajet 2014, hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Abdul Rahman Dahlan
Secara mudahnya, RPGT adalah cukai yang dibayar apabila individu atau syarikat menjual hartanah yang dimiliki mereka.

Dengan kadar RPGT baru ini, mereka perlu membayar 30 peratus daripada nilai keuntungan kepada kerajaan dalam bentuk cukai jika rumah itu dijual dalam tempoh tiga tahun selepas ia dibeli, kecuali beberapa pengecualian yang telah ditetapkan.

Manakala jika rumah itu dijual dalam tempoh empat dan lima tahun, kadar cukai yang dikenakan adalah 20 peratus dan 15 peratus masing-masing.

Bagi rumah yang dijual selepas enam tahun, tiada cukai dikenakan. Langkah ini dijangka dapat membendung isu seperti individu atau syarikat yang membeli rumah hanya untuk menjualnya pada harga lebih tinggi dalam masa terdekat sehingga menaikkan harga rumah di pasaran dan dalam masa sama tidak menjejaskan pembeli yang benar-benar ingin membeli rumah sebagai kediaman mereka.

Dalam perkembangan yang sama, OCBC Bank turut menjangkakan langkah menaikkan RPGT berkenaan termasuk harga hartanah minimum RM1 juta untuk warga asing boleh meredakan sentimen kenaikan harga dalam sektor perumahan

Pakar ekonomi OCBC Bank Selena Ling berkata, langkah diumumkan kerajaan bagi sektor hartanah dapat membantu mengurangkan ketegangan dalam sektor itu.

"Kenaikan RPGT, nilai minimum hartanah lebih tinggi yang boleh dibeli oleh orang asing, larangan kepada pemaju untuk melaksanakan projek yang ada unsur Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) boleh menyejukkan sektor perumahan.

Langkah kerajaan mencegah pemaju daripada melaksanakan Developer Interest Bearing Scheme  dengan menghalang bank menyalurkan pembiayaan juga dilihat selaras dengan standard di rantau ini untuk mengatasi inflasi pemilikan aset, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pemaju hartanah Mah Sing pula berpendapat, kenaikan RPGT disasarkan untuk golongan spekulator hartanah dan tidak memberi kesan kepada pembeli hartanah untuk dihuni atau disewa.

"Untuk jangka panjang, ini boleh mengekang kenaikan harga hartanah," katanya dalam satu kenyataan.


Mah Sing berkata, syarikat berkenaan turut berhasrat melaksanakan Skim Pemilikan Rumah Mampu Milik Swasta (MyHome) ke dalam projeknya yang berpotensi dan sesuai dengan skim berkenaan.

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan semalam, kerajaan akan menawarkan subsidi sebanyak RM30,000 untuk sebuah rumah di bawah skim MyHome dengan penetapan harga maksimum rumah kos rendah RM45,000 sebuah dan RM170,000 sebuah untuk rumah kos sederhana.

Pada 15 Oktober lalu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya sudah mengemukakan beberapa cadangan yang signifikan kepada kerajaan bagi mengekang kenaikan harga rumah di negeri ini yang diputuskan dalam pembentangan Bajet 2014.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, antara cadangan tersebut termasuklah penetapan had maksimum harga rumah bagi pembeli luar negara yang disuarakan pemaju perumahan baru-baru ini.

"Kita telah memberi beberapa cadangan kepada Menteri Kewangan dalam bajet yang akan dibentangkan 25 Oktober ini iaitu cadangan kita ada yang berbentuk fiskal dan berkaitan percukaian serta insentif.

Menurut Abdul Rahman, semua cadangan yang diberikan amat praktikal dan dibincangkan dalam bengkel bersama pelbagai pihak termasuk pemain industri, pakar dan agensi-agensi terlibat.

Katanya, cadangan tersebut dilihat amat signifikan bagi mengekang kenaikan harga rumah yang membebankan masyarakat, khususnya golongan bumiputera.

"Saya kira apa pun tindakan diambil, sesuatu dasar itu sepatutnya tidak begitu menyeluruh tetapi berdasarkan lokasi, contohnya mungkin di kawasan tertentu penglibatan pembeli luar negara itu amat penting manakala di kawasan tidak ada masalah dari segi tekanan pembelian ini, saya kira dasar itu tidak harus diaplikasikan," ujarnya.


No comments:

Post a Comment