Tuesday, October 22, 2013

Kokitab Cadang Perluas Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu Tahun Depan

Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu Berhad (Kokitab) merancang membuka tiga lagi cawangan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di negeri ini pada awal tahun depan bagi menjana ekonomi koperasi, kata Pengerusinya Alias Mustaffa.

"Kita merancang untuk membuka tiga lagi pajak gadai Islam Ar-Rahnu awal tahun depan dengan fokus utama di Kemaman, Dungun dan Marang," kata beliau di Kuala Terengganu semalam.

Alias berkata Kokitab akan melabur antara RM2 juta dan RM3 juta setiap satu pajak gadai dan kini dalam proses mencari bangunan yang sesuai di kawasan itu.

"Kita juga sedang memikirkan untuk membuka sebuah lagi pajak gadai Islam di bandar Kuala Terengganu jika sekiranya mempunyai tempat yang sesuai dan strategik," katanya.

Beliau berkata sekarang ini Kokitab mempunyai sebuah pajak gadai Islam di bandar Kuala Terengganu dan sambutan terhadap pusat berkenaan amat menggalakkan.

"Purata, kami menerima pelanggan antara 200 dan 300 orang, sama ada yang datang bergadai atau pun datang untuk menebus gadian setiap bulan," katanya.

Beliau berkata Kokitab cuma kenakan bayaran upah simpan barang-barang kemas daripada pemajak dengan kadar yang rendah berbanding pajak gadai konvensional.

Alias berkata pajak gadai Islam Ar-Rahnu menyediakan kemudahan terutama kepada peniaga kecil Bumiputera Islam yang memerlukan modal pusingan jika mereka menghadapi kesulitan kewangan.

Beliau berkata Kokitab merupakan koperasi kedua selepas Koperasi Kakitangan Badan-badan Berkanun negeri Terengganu (Kokanun) yang menubuhkan pajak gadai Islam di Terengganu setakat ini.

Alias menyarankan koperasi lain di negeri itu yang mempunyai modal supaya menceburkan diri dalam bidang pajak gadai Islam dan sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam.

"Lebih banyak koperasi menceburi diri dalam bidang ini lagi bagus kerana pajak gadai Islam Ar-Rahnu ini adalah satu perniagaan yang menguntungkan," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment