Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan untuk mewujudkan satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi setiap Parlimen di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata kini sebanyak 102 KR1M beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan harga antara 30 dan 50 peratus lebih murah berbanding kedai biasa.
"Di Selangor sahaja, kita sudah bina 13 KR1M termasuk di Pandan Mewah ini, dan kita akan membina enam lagi kedai seumpama ini di negeri ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di Pandan Mewah, Ampang, semalam.
Turut hadir Pengarah Urusan MRT Retail Sdn Bhd, Datuk Wira Meer Ali Mydin.
Hasan berkata sasaran untuk mewujudkan satu KR1M di setiap Parlimen di seluruh negara supaya semua rakyat dapat merasai faedah dan manfaat daripada kedai itu.
Ditanya adakah kerajaan akan mengurangkan subsidi gula, Hasan berkata perkara berkenaan bergantung kepada Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat depan.
"Akan ada penurunan dan kenaikan (harga barang), kita tunggu Belanjawan 2014 diumumkan nanti dan rakyat hendaklah bersedia menerima apa saja yang akan diumumkan nanti," katanya.
Beliau berkata perkara berkenaan dijangka berlaku berikutan beberapa langkah yang akan diambil kerajaan bertujuan mengukuhkan ekonomi negara.
Sementara itu di KUALA SELANGOR, Hasan berharap Perdana Menteri dapat mengadakan peruntukan yang lebih bagi membantu golongan peniaga kecil, pergerakan koperasi dan perkembangan perniagaan francais di dalam Belanjawan 2014.
Peruntukan tambahan itu diperlukan bagi membantu program Memperkasakan Ekonomi Bumiputera dengan meningkatkan keupayaan peniaga kecil, koperasi dan perniagaan francais, katanya selepas melancarkan Program Kesedaran Pengguna dan Ketua Masyarakat.
No comments:
Post a Comment