Thursday, October 31, 2013

Maidam Kutip Zakat RM92 Juta Daripada Sasaran RM120 Juta

Syed Ibrahim Syed Mohamad (kiri) menyerahkan zakat peniagaan kepada Alias Mamat pada majlis penyerahan zakat oleh Agrobank di pejabat Maidam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengutip zakat lebih RM92 juta sejak awal tahun lalu sehingga 27 Oktober lalu.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Zakat Maidam, Alias Mamat berkata, kutipan zakat tersebut meningkat berbanding tahun sebelumnya hanya RM84 juta untuk tempoh yang sama.

Katanya, daripada jumlah RM92 juta itu, kutipan tertinggi diperoleh melalui pembayaran zakat pendapatan sebanyak RM35 juta, zakat perniagaan RM28 juta, diikuti zakat wang simpanan RM17 juta dan selebihnya zakat zakat fitrah, zakat harta dan lain-lain.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan kutipan zakat RM120 juta berbanding tahun lalu RM100 juta,'' katanya selepas menerima zakat perniagaan tahun 2012 daripada Agrobank yang disampaikan oleh Pengurus Wilayah Negeri Kelantan/ Terengganu, Syed Ibrahim Syed Mohamad berjumlah RM61,891.41 di pejabat Maidam di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada tahun lalu katanya, Maidam berjaya mencapai sasaran zakat dengan perolehan sebanyak RM107 juta sehingga akhir tahun.

"Sehubungan itu kita yakin menjelang hujung tahun ini kita dapat capai sasaran RM120 juta itu," katanya. Dalam pada itu, Alias turut memaklumkan, pengagihan zakat setakat ini agak perlahan apabila sehingga bulan Oktober ini hanya RM48 juta diagihkan kepada penerima yang layak.

Tambahnya, ini ekoran pelaksanaan penstrukturan semula pentadbiran jabatan berkenaan yang sebahagiannya telah selesai pada pertengahan bulan Jun lalu.

"Bagaimanapun kita yakin, pengagihan itu akan diteruskan sehingga akhir tahun ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment