Tuesday, October 15, 2013

Masalah Teknikal Punca Kecoh Pada Pemilihan Sayap UMNO


Kelancaran proses Pemilihan UMNO 2013 bagi ketiga-tiga sayap parti di beberapa bahagian, semalam, terganggu berikutan beberapa kesilapan teknikal.

Antaranya, perwakilan bertindak kasar kerana tidak berpuas hati, memboikot pemilihan, kesilapan kertas undi, tersilap mengambil kertas undi, perwakilan terlewat tiba dan mempertikaikan proses pengundian. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan proses pemilihan di 191 bahagian.

Di Gua Musang, seorang perwakilan Wanita membaling mikrofon kerana tidak berpuas hati selepas pencalonan Ketua Wanita UMNO Bahagian itu dan 20 Ahli Jawatankuasa Wanita (AJK) ditolak.

Wanita itu bersama tiga perwakilan mencetuskan kekecohan dengan mengeluarkan perkataan kasar kepada pucuk kepemimpinan parti bahagian.

Perwakilan itu berjaya ditenteramkan oleh pemimpin Wanita UMNO Bahagian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang, Muhamad Shukri Abd Aziz, berkata perwakilan itu tidak dapat menerima hakikat penolakan borang pencalonan Ketua Wanita Bahagian itu, Siti Khadijah Mohamad Nor dan 20 AJK.

“Pencalonan mereka ditolak Jawatankuasa Pemilihan UMNO Bahagian kerana menyerahkan borang pada jam 5.01 dan UMNO Pusat turut menolaknya,” katanya.

Di Georgetown, pemilihan Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru kecoh apabila enam cawangan memboikot dan mempertikaikan kepemimpinan Bahagian, yang didakwa berat sebelah.

Cawangan berkenaan ialah Kampung Datuk Keramat, Sungai Tiram, Sungai Desa Universiti, Sri Jerejak, Sungai Nibong Kechil dan Desa Riang.

Pemangku Timbalan Pengerusi Tetap Puteri UMNO, Suhana Shuib, berkata 30 daripada 79 perwakilan kecewa apabila Setiausaha UMNO Bahagian itu, Abu Bakar Idris, didakwa melangkaui kuasa UMNO Pusat.

Katanya, perwakilan Cawangan Sri Jerejak dan Sungai Nibong Kechil dipanggil menyertai pemilihan selepas mendapat pengesahan watikah daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Bagaimanapun, Abu Bakar menolak watikah itu dan gagal memberikan penjelasan kukuh mengenai tindakan itu.

“Selepas saya dan yang lain memboikot, Abu Bakar melangkaui kuasa Tengku Adnan apabila melantik orang lain bagi mempengerusikan persidangan yang dilihat cubaan menyingkirkan kami,” katanya.

Di Kuala Terengganu, pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Nerus di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri tertangguh setengah jam apabila berlaku kesilapan pada kertas undi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mukhtar Abdullah, berkata masalah berpunca daripada jumlah petak undi melebihi jumlah yang sepatutnya diisi oleh perwakilan.

“Oleh itu, jawatankuasa pemilihan terpaksa mengambil masa mengoyak dan membatalkan lima petak itu bagi mengelakkan undi rosak dan perkara lain,” katanya ketika ditemui pada pemilihan itu.

Di Baling, pemilihan Wanita UMNO Bahagian tertangguh hampir dua jam apabila kertas pengundian untuk jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian tercicir.

Pegawai bertugas dikatakan tersilap mengambil kertas undi yang disimpan di Balai Polis Baling sekali gus menyebabkan proses pemilihan terpaksa ditangguh.

No comments:

Post a Comment