Sunday, October 20, 2013
Pahang, Kelantan Akan Bertemu di Final Piala Malaysia?
Apakah dua pasukan Pantai Timur yang kini berada dalam keadaan selesa untuk pusingan kedua Separuh Akhir Piala Malaysia akan bertemu di final?.
Pahang membawa bekalan agak selesa apabila menewaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam semalam.
Kelantan pula membuktikan reputasi mereka selaku calon juara kempen Piala Malaysia musim ini.
Malam kelmarin, mereka mengecewakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pahang, yang dilihat lebih menguasai perlawanan dengan beberapa percaturan berbahaya, mula memecah kebuntuan menerusi tandukan Azammuddin Akil hasil gerakan R.Gopinathan pada minit ke-28.
Keghairahan kira-kira 33,000 penyokong tuan rumah menikmati gol pertama, gawang Bujang Senang sekali lagi digegar dengan jaringan kedua tiga minit kemudian, juga menerusi tandukan Azammuddin hasil hantaran Jalalludin Jaafar.
Asakan berterusan pemain Pahang berjaya melebar penguasaan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-37 apabila gawang Sarawak, yang ditinggal penjaganya, Sani Anuar Kamsani, memudahkan pemain import Matias Ruben Conti melambung bola terus ke dalam gol.
Rentak permainan Sarawak yang seakan tergelincir bagaimanapun kembali ke landasan apabila berjaya mencipta gol sagu hati pada minit ke-39 hasil rembatan Ketua Pasukan Mohd Shahrol Saperi dari luar kotak penalti.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke kubu lawan, namun sehingga wisel penamat, kedudukan kekal Pahang 3 Sarawak 1.
Pahang dijadual bertandang ke Sarawak bagi memenuhi perlawanan kedua Sabtu depan.
Sementara itu kemenangan Kelantan boleh dianggap sebagai bekalan selesa bagi menghadapi separuh akhir kedua di Kota Bharu minggu depan.
Mohd. Nor Farhan Mohamad muncul wira Kelantan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-79.
Seperti diramal, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja perlawanan bermula. Pemain pertahanan ATM, K. Reuben terlebih dahulu menguji pintu gol Kelantan namun percubaannya pada minit ke-12 sedikit tersasar.
Pada minit ke-14, ATM sekali lagi melancarkan serangan pantas daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan menerusi larian Mohd. Fitri Omar yang terus membuat percubaan tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Selepas itu, Kelantan tidak berdiam diri dan tiba pula giliran kapten, Mohd. Badhri Radzi mempamer kehebatannya memperdaya dua pertahanan ATM dan dengan tenang dia merembat untuk gol pertama pelawat pada minit ke-15.
Tersentak dengan jaringan tersebut, ATM kembali memperkemas jentera tengah dengan membuat hantaran-hantaran pendek serta mengatur semula serangan di kedua-dua bahagian sayap.
Pada minit ke-19, Christie Jayaseelan membuat para penyokong The Red Warriors terdiam seketika apabila pemain sayap itu dengan tenang merembat ke penjuru gol Kelantan untuk gol penyamaan tuan rumah 1-1.
Selepas jaringan tersebut, kedua-dua pasukan mula memperlahankan permainan dan mereka sudah berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang kesilapan dan kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, sekali lagi para penonton disajikan dengan aksi menarik kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan ke kubu masing-masing. Mohd. Nor Farhan berjaya mengatasi kekalutan di depan pintu gol pasukan ATM bagi menghasilkan gol kedua pasukannya
Jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata, kehilangan Amiridzwan Taj yang digantung perlawanan serta Irwan Fadli Idrus yang terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan telah memberi kesan kepada benteng pertahanan pasukannya. "Saya sangat terasa ketiadaan dua tonggak itu (Amiridzwan dan Irwan).
Tetapi, secara keseluruhan kami telah menampilkan aksi yang terbaik dan saya yakin kami akan bangkit di Kota Bharu nanti," kata Sathianathan.
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak pula berkata, kemenangan itu belum memberi jaminan kepada mereka untuk melangkah lebih jauh kerana masih banyak kelemahan yang dikenal pasti pada aksi malam kelmarin.
"Bagi saya kemenangan 2-1 tidak boleh dianggap selesa kerana ATM pasti akan bangkit pada perlawanan kedua di Kota Bharu nanti. "Saya puji barisan pertahanan yang beraksi cemerlang malam ini (malam kelmarin) dan jika kami mengekalkan kecemerlangan ini, tidak mustahil kita akan layak ke final," katanya.
No comments:
Post a Comment