Wednesday, October 9, 2013

PAS Putuskan Calon DUN Sungai Limau Pada Esok

PAS akan mengadakan mesyuarat diperingkat pusat bagi memutuskan siapakah calon sesuai yang akan dipilih bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Khamis (esok).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata parti itu akan membincangkan senarai pendek calon yang telah dihantar oleh PAS Kedah dalam mesyuarat berkenaan.

"Sudah pasti kita akan pilih calon boleh menang. Tidak kira calon muda atau tua. "Ini kubu kuat kita, yang penting calon itu diterima oleh pengundi di Sungai Limau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata PAS juga akan memilih calon yang boleh meneruskan legasi kepimpinan bekas penyandangnya, Allahyarham Tan Azizan Abdul Razak.

Di PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS berkata calon tua atau muda tidak menjadi isu bagi  menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau berkenaan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata dalam PRK Sungai Limau, apa yang paling penting adalah kemenangan dan beliau percaya PAS pusat mempunyai kebijaksanaan meletakkan calon boleh menang.

"Kalau ikut saya secara peribadi memang saya mahukan calon orang muda sebagai pelapis dan pemimpin yang boleh meneruskan perjuangan Pemuda PAS. "Sekarang, calon muda atau tua bukan isu yang penting boleh menang. Saya percaya PAS ada percaturan dan bijak membuat keputusan mengenai calon yang dirasakan boleh menang," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata walau siapa pun calon yang diletakkan, Pemuda PAS akan berusaha habis-habisan untuk menawan hati pengundi di sana.

Jelasnya, majlis pelancaran jentera pilihan raya akan diadakan pada 12 Oktober ini dan selepas itu Pemuda PAS bersama anggota Pakatan Rakyat akan turun berkempen secara bergilir-gilir sehingga hari pengundian. 

"Dalam Ijtima Tarbawi 3.0 baru-baru ini, seramai lima hingga enam ribu peserta menyatakan komitmen untuk turun padang membantu menggerakkan jentera pilihan raya. "Fokus kita adalah penduduk tempatan kerana di sana tiada undi pos atau undi awal," katanya.

Mengenai peluang untuk menang, Nasrudin berkata beliau yakin PAS mampu mempertahankan kerusi yang disandang Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Tapi kita tak mahu 'over confident' dan akan terus berusaha menarik seramai mungkin pengundi," katanya. 

Pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau meliputi kira-kira 11,000 daripada 27,222 jumlah keseluruhan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Oktober ini, manakala hari pengundian pada 4 November. Pada Pilihan Raya Umum ke-13, PAS mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru.

No comments:

Post a Comment