Thursday, October 24, 2013

Piala Malaysia - TRW Tidak Rela Tragedi Lama Berulang, Tok Gajah Tidak Boleh Alpa

Hodak (dua dari kanan) giat mengendalikan latihan skuad Kelantan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang ATM di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok. 
Penggendali Kelantan (The Red Warriors), Bojan Hodak enggan tragedi 13 April lalu berulang kembali pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Apa tidaknya, tarikh tersebut meninggalkan kenangan pahit buat Hodak apabila ATM meleburkan rekod tanpa kalah TRWdi gelanggang keramat mereka itu sepanjang 42 perlawanan.

Sebelum dimalukan ATM dengan kekalahan 1-3 dalam saingan Liga Super itu, Kelantan ternyata kebal apabila beraksi di laman sendiri selepas hanya tewas 1-2 kepada T-Team di Kota Bharu pada 25 Mei 2011.

Razman (tengah) bersama penyokong Pahang yang dikenali sebagai Elephant Army meraikan kejayaan Tok Gajah membenam Sarawak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuantan, Sabtu lalu.
Sementara tonggak pertahanan Pahang, Razman Roslan menggesa rakan-rakan sepasukannya tidak mengambil mudah terhadap keupayaan Sarawak menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

Razman berkata, kealpaan mampu mengundang padah buat Pahang biarpun skuad Tok Gajah itu membawa bekalan dua gol hasil kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu. 

“Sarawak pasti begitu berkeinginan untuk mencatat kemenangan ke atas Pahang bagi meneruskan kemaraan ke pentas final.

“Sekiranya kami tidak fokus dan gagal mengambil setiap peluang yang ada, ia mungkin akan membuka ruang untuk Sarawak memadam kelebihan yang kami miliki,” kata Razman kepada Kosmo! semalam.

Mengenai pertemuan TRW dengan ATM, Hodak menganggap pertemuan menentang The Gladiators esok sebagai misi serampang dua mata buat Kelantan.

“Sudah pasti perlawanan ini akan menjadi situasi yang cukup berbeza terutama apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan untuk ke perlawanan akhir,” katanya.

Menurut Hodak, Kelantan kini berada dalam keadaan terbaik untuk turun menentang ATM apabila semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan. Katanya, kemenangan 2-1 yang dicatatkan pada aksi separuh akhir pertama di Selayang minggu lalu masih belum menjamin slot final buat The Red Warriors.

Bagi Razman yang menjadi tonggak pertahanan Tok Gajah, kombinasinya bersama awang import, Damion Delano Stewart di posisi pertahanan tengah semakin ampuh.

“Kami mampu mengemudi barisan pertahanan dengan baik hasil kerjasama erat antara rakan-rakan sepasukan yang lain. “Justeru, kelebihan ini perlu digunakan oleh jentera serangan Pahang untuk melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang lawan,” katanya.

Tambah Razman, setakat ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mengarahkan barisan pertahanan Tok Gajah untuk mengawal ketat secara spesifik mana-mana penyerang Bujang Senang.

Bagaimanapun Razman berkata, dia akan sentiasa memantau pergerakan pemain tengah Sarawak, Joseph Kalang Tie yang dianggap mampu memberi ancaman kepada kubu pertahanan Pahang.

“Joseph tidak diturunkan pada perlawanan pertama di Kuantan kerana menjalani hukuman penggantungan. “Bagi aksi di Kuching nanti, saya percaya dia mungkin mampu melakukan sesuatu dalam usaha membantu Sarawak menempah tiket ke final,” katanya.

No comments:

Post a Comment